Jeritannya sungguh kuat kerana azab dan sakit yang ditanggungnya tidak
mampu ditanggung lagi. Saya percepatkan langkah menuju ke katilnya. Di
sisi katil saya lihat ahli keluarga Jalal sedang menangis tersedu-sedu.
Jelas mereka panik dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, kecuali
melihat Jalal menggelepar kesakitan dan berdoa semoga Jalal cepat sembuh.
Di katil pula, Jalal meraung dan meronta sambil tangan dan kakinya terikat
kemas dikatil.
"Terima kasih ustaz sebab sudi datang bantu kami. Saya dah tak tahu apa
nak buat. Dah seminggu lebih adik saya macam ni," kata salah seorang abang
kepada Jalal sebaik melihat saya sampai.
Sebelum itu mereka menghubungi saya melalui telefon meminta saya segera
datang untuk membantu menyembuhkan penyakit adik bongsu mereka itu.
"Apa sakitnya ni?" tanya saya. "Entahlah ustaz, doktor pun tak tau."
Sedang kami berbual, tiba-tiba sekali lagi Jalal menjerit kesakitan. Kali
ini jeritannya cukup jelas di pendengaran saya. Jeritannya menakutkan dan
menyedihkan.
"Emak, ampunkan saya mak. Panaaaassss. Saya sakit mak, sakiiiiittttttt!
Tolonglah emak, ampunkan dosa saya." Berserta raungan yang dilepaskan
sekuat hati, tubuh Jalal menggelepar seperti dipanggang di dalam api yang
marak. Mukanya berkerut sementara matanya terbelalak akibat azab yang amat
pedih. Semua yang ada di wad berkenaan memandang ke arah kami. Jeritan itu
menyebabkan saya tertanya-tanya. Apakah yang menyebabkan Jalal jadi
sedemikian rupa? Apa pula kaitan antara penyakitnya itu dengan ibunya?
"Panggil ibunya segera," kata saya.
Namun kata-kata saya itu tidak dijawab. Ahli keluarga Jalal cuma terdiam,
menundukkan muka atau berpandangan sesama sendiri.
"Kenapa ni?" tanya saya.
Dengan perlahan abang Jalal bersuara, "Ustaz, ibu kami baru sahaja
meninggal dunia dua minggu lepas."
"Kalau macam ini susahlah sikit. Saya rasa mungkin Jalal ada melakukan
kesalahan besar kepada ibunya, sebab itulah dia menanggung azab yang
begini rupa. Dalam keadaan macam ini, cuma ibunya saja yang dapat
membantu," kata saya berterus terang.
Mereka cuma mendiam diri sementara jeritan Jalal semakin kuat. Saya
semakin ingin mengetahui puncanya kerana dengan latar belakang itu
insya-Allah saya boleh cuba carikan jalan lain untuk meredakan kesakitan
Jalal.
"Ceritakanlah kepada saya apa yang sebenarnya telah berlaku."
"Ustaz, sebenarnya adik saya ini sudah derhaka kepada arwah ibu kami,"
jawab salah seorang daripada mereka.
Dengan tenang, tapi air mata bergenang abang Jalal menceritakan kepada
saya kisah yang sebenarnya, kisah yang cukup menyayat hati saya.
Menurutnya, Jalal adalah anak bongsu daripada mereka enam beradik, empat
perempuan dua lelaki dan di kalangan mereka, Jalallah yang mempunyai
kelulusan yang lebih tinggi. Bagaimanapun, sejak kecil hinggalah dia
bekerja dan seterusnya berkahwin, Jalal sentiasa sahaja melawan dan
menyanggah kata-kata ibunya. Nasihat dan teguran ibunya pula dipandang
rendah serta tidak diendahkan. Syurga anak di bawah telapak kaki ibunya.
Walaupun berpendidikan tinggi, Jalal sentiasa sahaja kekurangan wang,
seolah-olah tidak dirahmati rezekinya. Berterusanlah keadaan itu hingga
dia berumahtangga. Keadaan menjadi semakin buruk apabila Jalal meletakkan
jawatannya di sebuah syarikat swasta. Hasratnya adalah untuk mencari
rezeki yang lebih banyak di syarikat lain, namun nasibnya bukan sahaja
tidak berubah, malah menjadi semakin parah. Walau di syarikat manapun yang
Jalal bekerja, dia akan menghadapi masalah yang seterusnya membawa kepada
dia meletakkan jawatan. Dalam kegawatan itulah Jalal mula meminjam wang
daripada sahabat-sahabatnya. Selepas sekian lama hutangnya semakin banyak,
namun dia masih tidak mampu melunaskannya. Rumahtangga Jalal mula
kucar-kacir dan akhirnya mereka bercerai. Bagi menyelesaikan masalah
tersebut, Jalal mendesak ibunya = supaya mencagarkan tanah mereka di
kampung kepada bank. Tanah seluas 12 ekar itu ditinggalkan oleh bapa
mereka yang meninggal dunia tiga tahun sebelum itu.
"Emak, saya nak tanah tu. Bank dah setuju nak kasi RM500,000. Saya nak
duit tu buat berniaga," katanya kasar.
"Jalal, engkau ni dah melampau. Itu tanah adik-beradik kamu," jawab si
ibu.
"Ahhh, saya tak kira."
"Jalal, emak tidak benarkan. Emak tau, duit tu nanti bukannya engkau nak
buat berniaga, tapi nak bayar hutang," jawab ibunya.
Bukan sahaja ibunya, malah semua adik-beradik Jalal tidak membenarkannya
mencagarkan tanah tersebut kepada bank. Jalal pulang dengan hati kecewa.
Namun dia masih bertekad untuk mendapatkan tanah berkenaan walau dengan
apa cara sekalipun. Suatu hari, Jalal datang ke rumah ibunya. Beberapa
orang adik-beradiknya ada di situ. Sekali lagi pertengkaran berlaku dan
berakhir dengan tragedi yang amat menyedihkan. Ketika kemarahannya sampai
kemuncak, Jalal menolak ibunya sekuat-kuat hati menyebabkan kepala ibunya
terhantuk di pintu. Darah dari luka terpalit di pintu sedang ibunya
terjelopok di lantai, rebah tidak sedarkan diri. Si ibu segera dibawa ke
hospital sementara Jalal puas hati kerana dapat melepaskan kemarahannya.
Akibat pendarahan otak yang seri us, ibunya meninggal dunia tanpa sempat
melafazkan keampunan kepada Jalal. Bermulalah azab dalam hidup Jalal.
Kira-kira seminggu selepas kematian ibunya, Jalal dikejarkan ke hospital
kerana jatuh sakit secara tiba-tiba. Apa yang membingungkan ialah doktor
gagal mengesan penyakit yang dihadapinya. Jalal sebaliknya meraung,
menjerit, meronta dan menggelepar kesakitan. Dalam raungannya itulah dia
meminta ampun kepada arwah ibunya kerana tidak sanggup menanggung azab
yang pedih. Berterusanlah keadaannya selama beberapa hari hingga saya
dipanggil. Dalam waktu itu, doktor dan jururawat tidak dapat berbuat
apa-apa kecuali mengikat Jalal di katil dan menyuntiknya dengan ubat
pelali untuk menidurkannya.
"Kalau begitu kisahnya, saya cuba cara lain," kata saya.
Di samping ayat-ayat suci al-Quran, saya membacakan surah Yassin untuknya.
Namun apabila dibacakan saja ayat suci itu, Jalal menjerit kepanasan.
Tubuhnya menggeletik dan menggelepar kesakitan.
"Aduh panasnya! Emak, ampunkanlah saya emak! Jangan bawa saya ke situ
emak, panas. Jangan bawa saya ke situ. Saya tak mau, sakit, sakit.
Tolonglah saya emak, ampunkan saya, saya bersalah."
Jeritan Jalal itu meruntun hati saya. Apakah yang dimaksudkannya dengan
'ke situ'? Kenapa Jalal tidak mahu dibawa 'ke situ' dan apa yang
dilihatnya di situ? Akibat tidak tertahan panas, tubuh Jalal terpaksa
dibogelkan. Tangan dan kakinya terus diikat ke katil. Selepas puas mencuba
tapi keadaan Jalal masih tidak berubah, saya meminta diri untuk pulang.
Satu ingatan saya tinggalkan kepada mereka, "Jika Jalal masih hidup
selepas zuhur ini, insya-Allah nyawanya masih panjang. Kalau tidak..."
Ketika itu lebih kurang pukul 10 pagi.
Saya tinggalkan mereka, namun sedang saya memandu, telefon bimbit saya
berdering.
"Ustaz! Cepat ustaz, adik saya dah nazak," kata si abang.
Saya berpatah balik dan apabila sampai di katilnya, saya lihat Jalal
begitu tenat. Nyawanya seperti sudah di penghujungan. Keluarganya semakin
cemas sambil air mata tidak henti-henti mengalir. Saya bacakan Surah
al-Asr, Surah al-Falaq, Surah an-Naas serta asma ul husna. Alhamdulillah,
Jalal berhenti meraung dan menggelepar. Keadaan senyap seketika.
Masing-masing beristighfar dan membaca ayat-ayat suci al-Quran. Terbayang
kelegaan di wajah mereka. Tiba-tiba, ketenangan itu dipecahkan sekali lagi
oleh jeritan Jalal. Dia mengerang sambil tubuhnya kejang menahan
kesakitan, mata terjegil seperti hendak terkeluar dan dalam satu detik
yang serentak juga najisnya terpancut keluar. Bertabur membasahi
seluarnya. Bau najis menusuk hidung kami. Maha suci Allah, keadaannya
adalah seperti sesuatu yang berat menghenyak perutnya yang mengakibatkan
nyawa, roh, najis, organ-organ dan segala-galanya yang ada di dalam tubuh
terhambur keluar secara serentak. Di bahagian atas, semuanya seperti
hendak terpancut keluar hingga mata Jalal tersembul sementara di bahagian
bawah, kakinya kaku dan najis berhambur memancut-mancut. Cukup aib dan
menyedihkan. Pakaian dan katil basah dengan air mata, peluh serta
najisnya. Selepas 'rentapan' itu, Jalal tidak bernafas lagi. Degupan
jantungnya berhenti dan dia pergi menghadap Allah SWT untuk menerima
balasan amalannya. Tamatlah riwayat seorang anak derhaka.
Saya cuma mampu melihat dengan gementar sementara keluarga Allahyarham
menangis dan berpelukan sesama sendiri. Yang perempuan terpaksa keluar
kerana tidak sanggup melihat mayat adik mereka. Demikianlah sakaratulmaut
datang menjemput Jalal. Seperti yang dijelaskan di dalam al-quran dan
hadis, ia datang dengan menyentap, merentap dan merenggut nyawa Jalal
tanpa ada kasihan belas. Sudah berpuluh-puluh tahun saya menguruskan
jenazah dan melihat orang menghadapi saat kematiannya, namun pengalaman
menyaksikan sakaratulmaut menjemput Jalal cukup memilukan hati saya.
Kesengsaraan yang ditanggung oleh Jalal sudah berakhir, namun mayatnya
meninggalkan keaiban yang amat sangat. Matanya terbonjol seperti hendak
terkeluar sementara giginya menyeringai. Dari kerut wajahnya, jelas sekali
Allahyarham baru sahaja menanggung kesakitan dan azab yang amat pedih.
Saya cuba pejamkan mata Allahyarham, namun gagal. Kelopak mata tidak
berupaya untuk menutup biji matanya yang tersembul itu. Cukup mengerikan
kerana hanya mata putih sahaja yang kelihatan. Ikatan di kaki dan tangan
Allahyarham dileraikan dan tangannya dikiamkan. Kaki Allahyarham
dirapatkan, namun sekali lagi saya menyaksikan keaiban kaki Allahyarham
tidak boleh dirapatkan kerana duburnya terpancut keluar dan membonjol di
celah kelengkangnya. Saya menenangkan mereka supaya bersabar dan reda
dengan apa yang telah terjadi. Selesai membersihkan tubuh Allahyarham,
jenazah dibawa turun kerana keluarganya mahu menguruskan jenazah tersebut
di rumah mereka di salah sebuah taman perumahan di sebuah negeri di pantai
barat semenanjung. Rupa-rupanya keaiban belum berakhir. Sebaik sahaja van
yang membawa Allahyarham keluar dari perkarangan hospital, tiba-tiba
keempat-empat shock absorbernya patah secara serentak. Van yang cuma
membawa lima orang, mayat yang badannya sederhana sahaja, dua orang abang
dan kakaknya, pemandu serta seorang pembantu, boleh patah shock
absorbernya? Kelindan van bergegas memanggil kami. Maha suci Allah, Tuhan
yang Maha Besar, apabila hendak dikeluarkan dari van, jenazah itu kami
rasakan teramat berat hingga terpaksa diangkat oleh kira-kira 15 orang.
Selesai masalah itu, satu lagi masalah timbul - tidak ada van atau kereta
yang berani untuk mengangkat jenazah tersebut. Kebetulan sebuah lori
kosong yang mengangkat tanah, pasir ataupun kelapa sawit lalu di tempat
kejadian. Dengan lori itulah jenazah dibawa pulang ke rumahnya. Apa yang
membingungkan kami ialah walaupun mayat berkenaan terlalu berat, tapi kayu
penusungnya tidak pula patah. Lori bertolak ke rumah Allahyarham sementara
saya pula memandu pulang ke rumah. Saya dimaklumkan bahawa Allahyarham
dikebumikan
di sebelah kubur ibunya. Namun diceritakan juga kepada saya bahawa tanah
yang ditambun ke atas kuburnya tidak mencukupi. Untuk mengelakkan kubur
Allahyarham berlubang, tanah lain terpaksa diambil dan ditambur ke
atasnya.
Tiga hari kemudian, saya menerima panggilan telefon daripada keluarga
Allahyarham.
"Ustaz, saya nak minta pertolongan dan pandangan daripada ustaz."
"Apa masalahnya itu?" tanya saya.
"Kubur adik saya berlubang ustaz."
Masya-Allah, demikian sekali keaiban yang Allah tunjukkan kepada anak yang
derhaka kepada ibunya. Menurut abang Allahyarham, kewujudan lubang itu
disedari sehari selepas Allahyarham dikebumikan. Lubang tersebut bermula
dari bahagian tengah kubur hinggalah mencecah kepada papan yang menutup
liang lahad. Tambah abang Allahyarham lagi, mereka mengambusnya dengan
tanah, namun keesokan harinya kubur tersebut berlubang semula.
"Begini sajalah, cuba masukkan sekali kayu atau papan ke dalam lubang
tersebut, insya-Allah, tak berlubang lagi," kata saya.
Namun keesokan harinya sekali lagi abang Allahyarham menghubungi saya
memberitahu bahawa kubur berkenaan berlubang semula. Apa yang
membingungkannya, tanah di kubur arwah ibunya langsung tidak berubah,
masih tetap membusut walaupun sudah lebih dua minggu dikebumikan. Bukan
itu sahaja, katanya, pokok yang ditanam di kubur ibunya juga hidup segar
sedangkan pokok yang ditanam di kubur adiknya mati kelayuan. Pada hari
kelima, saya menghubungi abang Allahyarham.
"Begini sajalah," kata saya. "Mulai malam ini buatlah majlis Yassin dan
tahlil. Panggil 20 orang dan setiap seorang baca Surah Yassin sebanyak 2
kali. Apabila selesai bacaan Yassin, minta imam bacakan doa supaya
diampunkan dosa Allahyarham kepada ibunya. Baca dalam bahasa Melayu dan
ulang doa itu sebanyak tujuh kali."
Seperti yang saya nasihatkan, pada malam berkenaan mereka mengadakan
majlis itu. Namun saya diberitahu, imam yang membaca doa tersebut
menggigil ketakutan. Alhamdulillah, pada hari ketujuh, kubur berkenaan
tidak lagi berlubang. Peristiwa ini sudah berlaku empat tahun lepas namun
masih terbayang-bayang di mata saya. Setiap kali tibanya hari raya
aidilfitri, setiap kali itulah peristiwa tersebut menjelma dalam ingatan
kerana ia terjadi cuma beberapa hari selepas kita berhari raya. Sungguh
menyentuh hati saya, ketika orang sedang bergembira berhari raya, ketika
itulah keluarga tersebut ditimpa petaka, si ibu meninggal dunia dan
anaknya yang derhaka diazab hingga ke akhir hayatnya.
Kisah ini saya paparkan bukan untuk mengaibkan Allahyarham ataupun
keluarganya, tapi supaya kita dapat mengambilnya sebagai pedoman dan
iktibar. Doakanlah semoga dosa Allahyarham Jalal diampunkan Allah."
No comments:
Post a Comment